Sunday, May 9, 2021

TUPPERWARE JATUH BERTERABUR

 Peristiwa ini berlaku ketika malam raya. Masa tu Kak Tymah balik ke rumah mak Kak Tymah yang jaraknya cuma lima belas minit dari rumah lama Kak Tymah. Esok dah nak raya, Kak Long Kak Tymah balik kampung mertua dia tahun ni. Jadi cuma tinggal Kak Tymah dan emak saja di rumah. 

Malam itu hampir jam sepuluh malam, ketika Kak Tymah dan mak bersiap nak tidur, tiba-tiba bunyi tupperware jatuh berterabur di dapur.  Mak Kak Tymah suruh pergi tengok di dapur, tapi hati Kak Tymah kata jangan. 

"Pi tengok sat adik..kot kucing masuk kot tingkap, berterabur habis kuih raya nanti"

Masa arwah mak Kak Tymah cakap macam tu, tak tau kenapa Kak Tymah rasa yang cakap tu bukan emak, sebab mak kak Tymah memang sedia maklum, tingkap dapur tu tingkap narco saja, jadi memang susah nak buka luas-luas. Tak pernah kucing masuk dapur ikut tingkap tu. Memang kak Tymah pasti sebab selama dua puluh tiga tahun tinggal di rumah emak, memang tak pernah berlaku. 

Jadi, antara pasti atau tidak, antara nak dan tak nak, kak Tymah pergang pada satu pepatah, iaitu kalau ragu-ragu tak payah pi. Jadi kak Tymah tak pergi tengok pun, kak Tymah terus tarik selimut dan tidur. 

Mak kak Tymah pun diam tengok kak Tymah terus tidur malam tu. Agaknya dia pun fikir macam kak Tymah fikir. Mak pun diam dan terus tidur. 

Keesokan harinya kak Tymah pergi ke dapur untuk mandi di pagi raya. Seperti yang kak Tymah agak, tiada satu pun bekas Tupperware yang jatuh berselerak. Kak Tymah tak puas hati. Buka pintu dapur pula, tinjau keadaan di luar, memang semuanya tersusun kemas, tiada satu pun yang jatuh berterabur. 

Habis tu, yang bunyi jatuh berterabur semalam tu apa? 

Sunday, May 2, 2021

BUNYI PASIR DI ATAS BUMBUNG

Selama ketika Kak Tymah tinggal di rumah tersebut, ada terdengar bunyi pasir bertaburan di atas bumbung. Pada mulanya, Kak Tymah buat tak peduli saja. Namun kejadian pada satu malam itu membuatkan Kak Tymah tersedar yang Kak Tymah diekori oleh benda tersebut.

Pada satu malam tu, Kak Tymah sedang memasak di dapur, Kak Tymah mendengar bunyi pasir di atas bumbung betul-betul atas kepala tempat Kak Tymah berdiri. Kemudian, Kak Tymah pergi ke ruang tamu depan dan memasang tv. Masa buka tv tu, Kak Tymah dengar lagi bunyi pasir atas bumbung di ruang tamu depan pula. Kak Tymah rasa pelik, terdetik dalam hati, 'Bunyi ni ikut aku ke?'

Lepas pasang TV Kak Tymah kembali ke dapur sambung masak, dan dengar lagi bunyi pasir di atas bumbung betul-betul atas kepala tempat Kak Tymah berdiri. Masa tu Kak Tymah fikir, macam mana nak buat ni, hati dah mula menggelabah. Kak Tymah tutup api dapur dan lari masuk bilik, duduk atas tilam diam-diam. Kak Tymah masih cuba memasang telinga mendengar. Bunyi pasir tadi berbunyi lagi atas bumbung bilik Kak Tymah pula. 

Kak Tymah cuba kuatkan semangat.  Bacaan ayat Kursi bermain di mulut, mata dipejamkan, Kak Tymah bayangkan rumah Kak Tymah dari lantai sampai ke bumbung, lepas tu Kak Tymah tiup dengan niat bacaan tadi untuk lindungi rumah. Kak Tymah yakin dengan izin Allah, pasti boleh. 

Selepas memabaca sebanyak tiga kali dan tiup tiga kali, Kak Tymah bangun dan jalan ke ruang tamu dan berdiri di tengah-tengah ruang tamu, cuba memasang telinga. Alhamdulillah dan tiada bunyi pasir tadi. Kemudian, Kak Tymah berdiri di dapur pula sambil memasang telinga, bunyi tadi sudah tiada. Alhamdulillah syukur sangat. 

Tapi sebab takut punya pasal, malam tu tak jadi masak. Sempat panaskan kuali saja tadi. hehe Penakut Kak Tymah ni... jadi malam tu Kak Tymah keluar makan di luar. 

Sampai sekarang ni Kak Tymah tak tahu benda apa yang dok ikut Kak Tymah tu. Ada yang kata bunyi pasir tu adalah bunyi rambut benda tu... rambut yang panjang meleret. Tapi dah kenapa pulak dok ikut Kak Tymah pi merata dalam rumah tu. Orang pi depan, dia pun terbang pi depan, orang pi dapur dia pun pi dapur. 

Itulah salah satu peristiwa seram yang Kak Tymah lalui masa tinggal di rumah lama dulu. Dahla masa tu sorang-sorang di rumah. Alhamdulillah sejak dah tiada kaitan dengan rumah tu, dah tiada gangguan lagi dah. Alhamdulillah. Kak Tymah doakan semoga kita semua sentiasa dilindungi Allah, amin...

Saturday, May 1, 2021

BUNYI KASUT TENGAH MALAM

Ini adalah kisah benar yang Kak Tymah lalui sendiri, namun nama tempat dan taman perumahan tu Kak Tymah tak nak sebut sebab takut lahirkan kebimbangan dan lemah semangat kepada orang lain. Doa dan bergantunglah kepada Allah kerana Dialah sebaik-baik pelindung.

Korang pernah tak tengok drama atau cerita hantu yang ada adegan dengar bunyi orang jalan seret selipar, tapi tak ada orang? Pernah? 

Ya!! Itulah peristiwa yang Kak Tymah alami masa tinggal di rumah Kak Tymah yang dulu. Peristiwa itu berlaku beberapa kali, dan selalunya kejadian berlaku pada waktu malam atas jam sebelas malam.

Suami Kak Tymah masa tu kerja kedai motor. Biasanya kedai tutup pukul tujuh malam. Selalunya dia akan sampai di rumah waktu senja, Maghrib. Lepas mandi semua, selalunya Kak Tymah dan suami akan lepak berbual di depan rumah bersama-sama. 

Setiap hari ada saja topik yang kami bualkan. Tak kisahlah bab kerja, ragam orang di jalan raya, atau apa-apa sajalah yang terlintas. Kadang-kadang kami suka imbau kisah zaman budak-budak dulu, teringat macam kisah upin ipin tu, seronok bermain tanpa gajet. Memang best sangat. 

Sambil melepak biasanya kami akan bancuh air sekali untuk minum. Tudiaaaa punya nak rileks la kan.. Sekali tu, tengah kami sembang, kami dengar bunyi orang jalan seret selipar. Kami terdiam.

Sraapp!

Sraapp!

Sraapp!

Sraapp!


Bunyi tapak kasut tu berjalan dari hujung simpang tepi bukit tu, dan berhenti depan rumah Kak Tymah. Bayangkan eh, bunyi seret kasut tu ada, tapi orang tak ada. Lepas tu bunyi tu patah balik ke hujung jalan tempat bermula tadi, dan patah balik lagi sekali dan berhenti betul-betul depan rumah Kak Tymah. 

Allah... dalam hati ni jangan katala... dup dap dup dap. Suami cuit kaki, bagi isyarat suruh masuk rumah sambil baca 3 qul, dan Al-Fatihah. Kami bangun perlahan-lahan tanpa ada sebarang bunyi, buka sliding door dan masuk perlahan-lahan, kemudian tutup semula sliding door. 

Lepas tu suami Kak Tymah berdiri diam-diam di belakang pintu sliding door tu, masih cuba dengar bunyi seret selipar tu. Masih ada, bunyi tadi patah balik ke hujung jalan tu dan hilang di situ. 

Tanpa berlengah lagi, Kak Tymah terus pasang CD Al-Quran. Kak Tymah pasang surah Al-Baqarah kuat-kuat bagi dengar satu rumah. Mana jiran yang faham tu, deorang fahamlah, ada gangguan la tu. 

Alhamdulillah dalam rumah tiada gangguan. Bunyi tu habis di luar rumah saja. Kejadian ni berlaku beberapa kali dalam setahun, setiap tahun. Selama Kak Tymah tinggal di rumah tu selama lima tahun, memang kerapla kena kacau macam tu. Tapi makhluk yang buat bunyi ni tak kacau orang, dia cuma bagi dengar bunyi saja, macam nak bagitahu dia ada di situ. 

Suami suruh ignore je, sebab dia benda di luar rumah.. yang jadi masalahnya kalau jenis nak masuk rumah ni, yang gegar-gegar pagar, ketuk sliding door macam rumah kena ambush, macam nak masuk sangat-sangat. Itu kena jaga-jaga sebab benda tu agresif. 

Cerita ketuk sliding door tu lebih kurang yang macam viral tahun lepas tu, sliding door diketuk tapi tiada sesiapa di situ. Kisah sliding door tu nanti Kak Tymah cerita dalam entry yang lain. 


Friday, April 23, 2021

MIMPI TANDA GANGGUAN

 Apa yang Kak Tymah nak ceritakan di sini adalah pengalaman Kak Tymah sendiri yang real. Bukan dari bacaan, bukan dari pengalaman orang lain, tapi ini benar-benar pengalaman sendiri. 

 

Secara asasnya, biasanya pembeli rumah tidak tahu keadaan tanah, asal usul tempat berkenaan sehinggalah tuan rumah tersebut mendudukinya, jadi ambillah langkah berjaga-jaga demi keluarga terKak Tymahng. 

 

Rumah Kak Tymah dulu, Kak Tymah cuci macam biasa, dengan sabun dan air, lepas tu tolak air keluar, pasang kipas, biar kering... esok lusa kering elok, baru pindahkan barang masuk ke rumah. Senangnya masa tu, langsung tak fikir apa-apa. 

 

Bermulalah episod mimpi masuk tandas yang sangat kotor. Peliknya dalam mimpi tu, Kak Tymah boleh masuk tandas yang banyak macam tandas asrama tu, yang terpalit najis merata-rata, cari satu tandas yang macam ok sikit, lepas tu mandi, dan keluar. Boleh dikatakan hampir setiap hari mimpi yang sama. Sampai dikatakan hampir setiap hari mimpi yang sama.

 

Dalam mimpi tu memang geli sangat-sangat, tandas penuh dengan najis, tak pernah cuci. Tapi tak tahu kenapa dalam mimpi tu, Kak Tymah masuk jugak pi mandi guna getah paip yang panjangnya tak seberapa, tertunduk-tunduk cuci kepala, badan semua, keluar masuk tandas pun berhati-hati agar najis tak terpalit pada badan.

 

Lama-kelamaan Kak Tymah jadi letih dengan mimpi tu. Kak Tymah mula berdoa selepas solat, mohon petunjuk dari Allah S.W.T untuk tunjukkan apa sebenarnya yang terjadi.

 

Maha Suci Allah, malam tu juga Kak Tymah mimpi. Masih mimpi yang sama, tapi ada TUJUH  roh terbang keluar dari tandas berasingan, (ingat ya, tandas Kak Tymah mimpi tu banyak macam tandas asrama) Bentuk lebih kurang macam gambar casper tu, tapi tiada tangan, cuma ada kepala dan ekor, mata sepet macam opera cina.

 

Tujuh roh tersebut terbang dan terapung di depan Kak Tymah. Salah satunya berkata “ini tempat kami…hang mai sini buat apa, ni tempat kami”

 

Dalam mimpi tu Kak Tymah jawab “Ni rumah aku, aku beli rumah kat sini”

 

Ketua yang seekor tadi jawab lagi “Kami dah duduk sini lagi lama..dari dulu lagi, jadi ni tempat kami”

 

Kak Tymah tetap pertahankan rumah Kak Tymah “Hang dok dunia hang la, ni rumah aku sekarang, dah, jangan kacau aku”

 

Kak Tymah pusing  belakangkan mereka, lepas tu terjaga dari tidur jam 3 pagi. Hampir setiap hari mimpi begitu, lepas tu mimpi berdialog dengan mereka hampir setiap dua minggu. Sangat meletihkan.

 

Setelah 5 tahun tinggal di situ,dah berkahwin, dan beranak, Kak Tymah risau keselamatan anak dan buat keputusan untuk jual saja rumah itu. Kak Tymahng rasa, rumah elok, tapi selagi ada kaitan dengan rumah tu, memang tak tenteram.

 

Selama lima tahun itu jugalah macam-macam yang Kak Tymah lalui.. nanti Kak Tymah akan cerita lagi dalam entry seterusnya


BERSIHKAN RUMAH, ELAK GANGGUAN MAKHLUK HALUS


Pasti ramai yang beli rumah barukan? Seronoknya rasa hati, tak sabar nak masuk rumah baru, mulakan kehidupan baru dengan keluarga tersayang. Mulalah dalam hati memasang impian nak hias rumah cantik-cantik agar memberi keselesaan dan menjadi RUMAHKU SYURGAKU.. hah gitteww....

Tapi apa yang anda perlu tahu adalah, setiap rumah yang belum di duduki pastinya perlu dibersihkan. Bukan sahaja secara fizikal seperti mencuci, tetapi juga perlu dibersihkan dari gangguan makhluk lain jika ada. 

Ok, jom Kak Tymah kongsikan caranya. Cara ni Kak Tymah cuba gunakan bila kerap rasa gangguan dalam rumah. Rasa macam ada orang lain dalam rumah tu..(Ok ini seram, nanti Kak Tymah akan ceritakan dalam entry lain).

 Kak Tymah dengar paksu sembang dengan arwah mak Kak Tymah dulu, asal gerai makanan maksu kena sihir, orang tak nampak, orang kata tutup, walhal elok ja buka, namun bila pelanggan tetap datang rumah bertanya kenapa banyak hari gerai tutup, maksu dapat agak ada benda tak elok di situ, jadi maksu Kak Tymah mintak tolong sorang ustaz ni, (nama dia wallahualam, Kak Tymah tak tau), ustaz bagi petua ni. 

So ini petua dari seorang ustaz ya, korang boleh guna untuk ikhtiar,insyaAllah dengan izin Allah dapat membantu. Lepas 3 hari cuci gerai dengan cara ni, maksu Kak Tymah jumpa katak kering bawah gerai dia (stall), dia curah katak tu dengan air sampai masuk longkang, lepas tu orang start nampak gerai dia buka semula. Alhamdulillah. 

Jadi, Kak Tymah gunakan cara yang sama cuci rumah Kak Tymah. Caranya pertama sekali, cuci rumah macam biasa guna sabun dan air sampai bersih. Langkah kedua ni penting, ikut step di bawah:

Bahan-bahan
1.) 1 kilo garam kasar
2.) Sebotol cuka
3.) Sebaldi air

Caranya:
Bancuhkan Garam Kasar, Cuka dan Air tadi sehingga sebati sambil baca Al-Fatihah, Ayat Kursi dan 3Qul. Niat supaya Allah melindungi kediaman kita dari gangguan makhluk halus dan perkara tak elok. 

Mop satu rumah guna air tadi, seeloknya gunakan mop yang baru

Biarkan di lantai sekurang-kurangnya 3 hari sebelum mop semula bagi bersih.

InsyaAllah dengan izin Allah tiada gangguan di dalam rumah.


** owh ya, baki air bancuhan tadi bolehlah simbah di porch depan rumah dan lantai belakang rumah...biar benda tu tak boleh datang kacau sampai depan pintu.

Menurut pengalaman Kak Tymah dulu, benda tu tak boleh masuk rumah lepas cuci lantai dengan air garam dan cuka, jadi dia datang ketuk sliding door kuat-kuat macam orang mengamuk ambush rumah. Ok, part ni memang scary- silap Kak Tymah sebab buang lebihan air mop tu dalam bilik mandi, hehe 

Esok tu Kak Tymah mintak suami bancuh air campuran yang baru dan simbah laman depan dan belakang rumah sampai ke depan pagar. Lepas tu Alhamdulillah dah tak ada gangguan ketuk-ketuk pintu dah. Tapi itulah, pokok kaktus yang Kak Tymah letak atas pagar jatuh terbalik tanpa ada angin atau kucing yang menolaknya. hemmmm yang tu nanti Kak Tymah cerita dalam entry yang lain ya. Harap dapat membantu korang di luar sana dengan secebis ilmu yang Kak Tymah dapat dari perkongsian ustaz ni.